Social Icons

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Site Info

Monday, 16 July 2012

Ikhlas Kerana Allah


Ikhlas itu jiwa yang murni, rahsia Allah di dalam hati, terlalu sembunyi tapi dapat dikesan, jika disuluh dengan saksama, nista dan puji tiada berbeza.” Itulah antara bait-bait lagu nasyid oleh salah satu kumpulan nasyid popular yang menggambarkan tentang keunikan sifat ikhlas.

Sifat ikhlas sangat istimewa. Walaupun sulit untuk diberikan pengertian yang tepat dan tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kehadirannya, namun ia memberikan pengaruh yang besar dan bermakna terutamanya dalam amalan dan perbuatan setiap yang bergelar Mukmin. Jika keikhlasan yang mendahului setiap gerak-geri insan, akan lahir keluhuran dan membuahkan keberkatan Allah SWT dalam setiap amalannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan hati seperti yang dimaksudkan oleh hadith Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.”(Riwayat Bukhari & Muslim)

Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna menyatakan, “Ikhlas adalah setiap kata-kata, amalan dan jihad setiap Muslim hanya kerana Allah SWT, untuk mencari keredhaan dan ganjaran baik dari-Nya, tanpa memandang kepada imbuhan duniawi, kemewahan, kemegahan atau gelaran. Justeru, insan itu menjadi pengikut kerana akidah dan fikrah bukan kerana kebendaan atau sebarang kepentingan peribadi.” Daripada kata-kata Imam Hasan al-Banna, dapat difahami bahawa sifat ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT. Amalan yang dilakukan tidak dicampuri oleh keinginan dunia, keuntungan untuk diri sendiri, mencari pangkat dan darjat, inginkan kemasyhuran, pujian dan dikenali seluruh dunia kerana sesuatu perkara yang ada pada dirinya.

Sebagaimana solat lima waktu yang menjadi tiang untuk meneguhkan dan sebagai perlambangan bagi seseorang yang bergelar Muslim, membezakan dirinya dengan penganut agama lain, sifat ikhlas menjadi penanda aras kepada amalan setiap insan. Justeru, ikhlas disebut di awal solat sebagai pembukaan kepada kesedaran minda bahawa apa yang sedang dilaksanakan ini hanya kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am, ayat 162 yang bermaksud :“Katakanlah olehmu, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Sifat ikhlas di dalam diri insan boleh diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok. Walaupun tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata, namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh walaupun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi seperti ini akan melahirkan seorang Mukmin yang mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.

Keistimewaan Sifat Ikhlas
Kehadiran sifat ikhlas dalam diri individu memberikan pengaruh yang sungguh besar terutamanya ke arah pembentukan peribadi yang syumul dan berkualiti sejajar dengan syariat. Antaranya

Menjauhkan Sifat Berpura-pura
Sememangnya menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian, dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat, darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”. (Riwayat Baihaqi).

Membunuh Sifat Riya’
Sifat riya’ boleh memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat kerana Allah SWT.

Membentuk Jiwa yang Kental
Seorang yang ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT. Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan. Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung, individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah berlaku.

Memupuk Sifat Redha dan Tenang
Dunia adalah pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Kesimpulan
Keikhlasan adalah suatu sifat mahmudah yang patut disemai dalam setiap sanubari insan yang mengaku beriman. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar ikhlas dalam kehidupannya kerana ia berkait rapat dengan persoalan hati manusia yang sentiasa berbolak-balik dan tidak nampak tandanya dengan jelas. Apa yang boleh dilakukan, berusahalah dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan amalan di dunia ini dan niatkan segala-galanya kerana Allah SWT. Hanya Dia yang selayaknya memberikan ganjaran yang benar-benar setimpal atas apa yang diusahakan. Bagi sesiapa yang telah beramal dengan penuh keikhlasan, tiba-tiba dipuja dan dipuji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, sedangkan itu semua tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan keikhlasan kepada Allah SWT, mereka itulah yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Rasulullah SAW telah ditanya berkenaan seseorang yang telah berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?” Jawab Baginda, "Itulah khabar gembira yang didahulukan buat para Mukmin" (Riwayat Muslim)


Adakah anda merasakan artikel saya ini berguna? Jika ya kongsi dengan rakan anda : Jika anda suka dengan artikel saya, pastikan anda Langgan melalui RSS feed! atau Langgan Blog Rahman Bashri melalui Emaili Komen anda sangat berguna untuk saya memperbaiki Blog Rahman Bashri..Terima Kasih

0 Comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...