Social Icons

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Site Info

Thursday, 22 May 2008

e-Wakaf

ISLAM sentiasa menggalakkan kemajuan malah agama itu sendiri berkembang pesat sesuai dengan perubahan dunia semasa.

Perkembangan teknologi dalam dunia Islam bergerak begitu pantas, dari sistem pembesar suara untuk azan, paparan khutbah di skrin sehinggakan sistem mengambil wuduk ditingkatkan untuk kemudahan umat Islam.
klik sini


Di negara ini, perkembangan teknologi untuk umat Islam tidak kurang hebatnya, seperti sistem wakaf yang merubah struktur pentadbirannya ke dunia maya.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) melancarkan sistem elektronik e-Wakaf bagi mempercepatkan perkhidmatan jabatan itu selain memperkemaskan sistem pengurusan berkaitan wakaf, zakat dan haji antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata e-Wakaf dan e-Bayanat menjadi penyelaras pengurusan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan secara lebih efesien.

“Sistem yang diperoleh dari majlis agama Islam negeri masing-masing akan digabung secara setempat dalam e-Wakaf agar maklumat itu diperoleh orang ramai dengan mudah, tepat dan terperinci," katanya.

Sistem e-Wakaf dapat menyediakan maklumat terkini mengenai tanah wakaf sekali gus memudahkan kerajaan Persekutuan menyediakan dana bagi membantu pembangunan tanah wakaf untuk pembinaan masjid, rumah anak yatim dan sekolah agama.

Ahmad Zahid berkata, e-Wakaf ialah sistem Pengurusan Maklumat Wakaf Bersepadu yang digerakkan di peringkat nasional merangkumi empat subsistem.

“Empat subsistem itu ialah Portal Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Antara Muka Maklumat Wakaf dan Pusat Data Wakaf,” katanya.

Sehingga kini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) sudah menggunakan sistem itu.

Pembangunan tanah wakaf secara 'online' mampu membentuk kesepaduan serta keseragaman dalam menyediakan kemudahan kepada masyarakat di negara ini.

Sistem online itu membolehkan orang ramai mendapat maklumat terperinci dan terkini pembangunan institusi wakaf setiap negeri.

“E-Wakaf juga membantu mempercepatkan pembangunan 9,947 hektar tanah wakaf di seluruh negara yang setakat ini hanya 0.72 peratus dimajukan.

"Maklumat e-Wakaf membolehkan kita mengetahui lokasi, nilai, individu yang memberi wakaf dan status pembangunan hartanah wakaf di negeri dan daerah.

"Sistem ini membolehkan maklumat wakaf disepadukan dengan berkesan dan berupaya memberi gambaran menyeluruh pada peringkat nasional," jelasnya.

Dalam satu jurnal dikeluarkan Jawhar pada 2007, kertas kerja yang dibentangkan Aidi Ahmi, Mohd Herry Mohd Nasir dan Mohd Hisham Mohd Sharif dari Fakulti Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM) memaklumkan keberkesanan e-Wakaf ke arah pengurusan wakaf lebih sistematik.

Takrifan wakaf dari segi bahasa bermaksud tahan (habs) atau berhenti (man’u) manakala dari segi istilah pula ia bermakna menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya agar digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.

Wakaf juga terkenal dengan nama sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan pahalanya dari semasa ke semasa selagi ianya dapat dimanfaatkan.

Ada dua kategori wakaf iaitu wakaf am (mutlak) iaitu harta yang diwakafkan untuk kepentingan umat Islam setempat dan wakaf khas (muqayyad) bermakna wakaf yang ditentukan oleh pewakaf yang mahu mewakafkan harta mereka untuk sesuatu projek yang khusus seperti pembinaan masjid, surau dan keperluan anak-anak yatim.

Pengurusan wakaf tertakluk di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam negeri berdasarkan peruntukan bidang kuasa yang diberikan kepadanya.

Perlaksanaan dan pengurusan wakaf masih lagi memerlukan pembaharuan yang terkini dan sesuai dengan perkembangan teknologi ICT yang semakin canggih.

Keperluan maklumat wakaf yang cepat dan tepat boleh membantu sebagai satu sistem sokongan kepada kerajaan misalnya untuk membangunkan ekonomi ummah.

Pendekatan Majlis Agama Islam Negeri untuk menambahkan bilangan tanah wakaf memang digalakkan bukan saja melalui pemberian wakaf oleh umat Islam sendiri termasuk permohonan tanah baru kepada kerajaan negeri untuk diwakafkan seterusnya dibangunkan untuk faedah dan kebajikan ummah.

Harta wakaf ini kemudiannya diuruskan dengan cekap, dibangunkan berlandaskan hukum syarak atau digunakan mengikut tujuan ianya diwakafkan.

Melihat kepada penyataan di atas, pembangunan e-Wakaf adalah tepat untuk mencapai tujuan itu dengan rangkuman sistem elektronik memungkinkan setiap data digabungkan secara kolektif.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan sistem e-Wakaf dapat diselenggara dengan baik berdasarkan pengumpulan maklumat dari setiap Majlis Agama Islam Negeri.

Justeru, satu sistem pengurusan yang lengkap dan tepat berkaitan dengan harta wakaf ini seharusnya dibangun dan dilaksanakan memandangkan bilangan harta wakaf dari tahun ke tahun akan bertambah.

Data yang bertambah setiap tahun ini mungkin akan mengganggu pentadbiran jika maklumat berkaitan harta ini tidak disimpan dengan baik seterusnya memungkinkan dosa dilakukan kerana harta wakaf itu satu amanah yang diberikan masyarakat.

Kertas kerja itu memberi gambaran ciri yang terdapat di dalam sistem e-Wakaf termasuk:




  • Melaksanakan pendaftaran tanah wakaf baru




  • Menyelaras dan mengemaskini daftar tanah wakaf




  • Menyelaras tanah wakaf yang hendak disewa/dipajak




  • Melakukan pencarian maklumat wakaf




  • Mengeluarkan laporan-laporan yang diperlukan




  • Pengagihan hasil wakaf

    Maklumat berkaitan hartanah wakaf baru boleh direkodkan ke dalam sistem sebaik saja surat lafaz wakaf dilengkapkan dan segala dokumen berkaitan dengannya selesai termasuk perkara seperti yang terdapat di dalam rukun wakaf iaitu orang yang mewakafkan, pihak yang menerima wakaf, benda yang diwakafkan berserta ijab dan qabul.

    Penyelarasan dan pengemaskinian daftar tanah wakaf boleh direkodkan secara online seperti status tanah atau catatan terkini berkenaan hal ehwal pentadbiran tanah wakaf atau suntingan daftar tanah.

    Ia mampu dilakukan dari masa ke semasa bersesuaian dengan perkembangan status tanah wakaf terbabit.

    Keseragaman dalam pembangunan online melalui institusi wakaf ini membantu membina laporan kepada umum berkaitan:




  • Laporan senarai keseluruhan inventori tanah wakaf.




  • Laporan terperinci maklumat setiap wakaf.




  • Laporan bilangan tambahan dan kurangan tanah wakaf bagi sesuatu tempoh.




  • Laporan tanah yang didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Negeri.




  • Laporan ringkasan bilangan lot dan keluasan tanah wakaf.




  • Laporan cukai bagi semua tanah wakaf mengikut daerah.




  • Laporan tanah wakaf yang memberikan hasil dan pulangan.




  • Laporan jumlah kutipan hasil tanah wakaf bagi setiap tahun.




  • Laporan jumlah hasil yang diterima untuk sesuatu tempoh berdasarkan klasifikasi wakaf dan penerimanya.

    Kesimpulannya, teknologi membantu meringankan urusan seharian dan memberi maklumat berguna kepada umat Islam selagi mereka mahu berubah.

  • 0 Comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...